Ramai yang masih keliru bila masuk bab pengurusan harta pusaka selepas kematian. Ada waris yang terus pergi ke pejabat pusaka, ada yang ke Amanah Raya, dan ada pula yang masih bertanya-tanya: “Perlu ke mohon Surat Kuasa? Perlu ke dapatkan Perintah Pembahagian?”
Sebenarnya, tidak semua harta pusaka memerlukan prosedur undang-undang yang sama. Ada harta yang perlu Surat Kuasa Mentadbir atau Perintah Pembahagian. Ada juga harta yang boleh diserahkan terus kepada waris tanpa perlu lalui proses tersebut.
Jadi, apa bezanya?
1. Apa Itu Surat Kuasa dan Perintah Pembahagian?
Surat Kuasa Mentadbir dan Perintah Pembahagian adalah dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil atau Pejabat Pusaka Kecil. Ia memberi kuasa kepada waris atau pentadbir untuk mengurus, menuntut dan membahagikan harta si mati.
Dokumen ini diperlukan apabila waris nak menguruskan harta pusaka berdaftar seperti rumah, tanah, kenderaan dan akaun bank. Pembahagian harta pusaka mengikut faraid atau wasiat dan hibah, jika ada dibuat semasa hidup.
Untuk harta pusaka tidak berdaftar pula seperti barang kemas, duit tabung di rumah, pinggan mangkuk; boleh dibahagikan mengikut faraid tanpa melalui proses Surat Kuasa.
Disebabkan ini mungkin anda pernah dengar ada kes pusaka yang mudah saja dibahagikan, tak perlu melalui mahkamah. Hal ini kerana harta pusaka tersebut bukan kategori harta pusaka berdaftar.
2. Jenis Harta Pusaka Yang Perlukan Surat Kuasa/Perintah Pembahagian
- Tanah dan rumah atas nama si mati
- Akaun bank
- Kenderaan atas nama si mati
- Saham, unit amanah, ASB
- KWSP jika tiada penama atau penama telah meninggal dunia
Semua ini biasanya memerlukan dokumen rasmi kerana institusi atau pihak ketiga perlukan bukti sah siapa waris yang berhak.
3. Jenis Harta Pusaka Yang Tidak Perlukan Surat Kuasa/Perintah Pembahagian
- Akaun KWSP dengan penama yang masih hidup
- Polisi takaful yang mempunyai penama/hibah bersyarat
- Barang kemas
Dalam kes ini, penama hanya perlu membawa dokumen sokongan (seperti sijil kematian) ke institusi berkaitan untuk proses tuntutan. Tidak perlu melalui prosedur pusaka di Mahkamah Tinggi Sivil atau Pejabat Pusaka Kecil.
Kesimpulan
Tidak semua harta pusaka perlu melalui proses yang sama. Mengetahui perbezaan ini boleh membantu waris mengurus harta dengan lebih mudah dan cepat. Perancangan semasa hidup bukan sekadar tentang duit. Ia tentang ketenangan jiwa untuk diri sendiri dan keluarga yang ditinggalkan.